Dr Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Dong Zong yang disifatkan pertubuhan rasis tidak pernah berubah dari dahulu hingga hari ini, meskipun beliau kini adalah perdana menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai oleh DAP.

Pada pertengahan tahun 2000, Dr Mahathir pernah mengatakan Dong Zong sebagai pertubuhan yang mempunyai ciri-ciri komunis, selepas pertemuannya dengan Dong Zong.

Ketika itu, Dr Mahathir sangat kesal kerana dalam pertemuan tersebut, wakil-wakil Dong Zong tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik.

Dong Zong juga menentang penubuhan Sekolah Wawasan yang berkonsepkan sekolah tiga aliran tetapi berkongsi kemudahan umum seperti padang, perpustakaan dan kantin.

Veteran UMNO, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, ketegasan dan tiada kompromi Dr Mahathir terhadap Dong Zong patut menjadi teladan kepada pemimpin lain pada masa depan.

“Alhamdulillah, rasa syukur bila mendengar setiap perkataan yang melantun keluar dari mulut YAB Tun M, Dong Zong adalah pertubuhan bersifat racists, menentang apa saja rancangan kerajaan untuk membentuk perpaduan Nasional.

“Penting sekali diingatkan di sini pendirian Tun M terhadap kumpulan ekstremis Cina ini tetap tidak berubah walaupun hari ini beliau menjadi PM bagi kerajaan PH yang dianggotai oleh DAP yang perjuangan mereka lebih condong kepada cauvanis China,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Tegas Dr Khir, negara ini tidak boleh membiarkan mana-mana pertubuhan yang menganggap pemikiran ektremis untuk kepentingan kaum tertentu tanpa fikir kaum lain terus berkembang di negara ini.

“Bayangkanlah hanya untuk memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah vernakular pun mereka tentang dengan alasan cuba untuk memperkenalkan Islam di sekolah tersebut. Alasan bodoh dari golongan kiasu.

“Adakah dengan memperkenalkan tulisan Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan akan menjadikan anak-anak Melayu boleh tukar agama?, soalnya yang percaya orang Melayu ingin belajar bahasa dan tulisan Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah lagi tanpa rasa gusar anak mereka akan bertukar agama.

Tegas Dr Khir, kerajaan telah banyak melakukan kesilapan hingga hari ini kita gagal mewujudkan bangsa Malaysia yang saling hormat menghormati antara satu sama lain kerana terlalu mengambil kira keuntungan politik yang sementara.

“Lihatlah apa berlaku hari ini, nyawa manusia boleh terbang hanya kerana berlaku pelanggaran kecil kereta, murah sungguh harga nyawa kita, malah boleh dianggap tiada harga langsung,” katanya. – MalaysiaGazette