Koon Yew Yin

KUALA LUMPUR – Kenyataan ahli perniagaan Koon Yew Yin yang mendakwa anggota tentera tidak melakukan apa-apa kecuali makan dan tidur’ sebagai bidap dan langsung tidak boleh diterima.

Lantaran itu Yew Yin dituntut untuk membuat permohonan maaf kepada semua tentera dan bekas tentera.

Sharan Raj mengingatkan Yew Yin jangan sesekali memperlekehkan golongan yang berani ini kerana disebabkan merekalah rakyat Malaysia termasuk ahli perniagaan itu boleh tidur lena dan mengumpul kekayaan.

Anggota angkatan tentera juga melindungi rakyat Malaysia daripada penyelundup dadah, pemerdagangan manusia, serangan pengganas (Sabah), memerangi lanun (Laut China Selatan) dan melaksanakan operasi menyelamat berbahaya.

“Oleh sebab itu rakyat Malaysia boleh tidur lena sehingga tengah hari kerana ada tentera bersenjata yang mengawal sempadan.

“Ia bukan mudah berjalan 25 kilometer sehari sambil memegang senjata seberat 30 kilogram Tetapi merekalah yang menyumbang kepada keamanan negara dan seharusnya kita tidak sesekali memperlekehkan keberanian mereka.” kata Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia itu.

Sharan turut meminta Yew Yin berhenti membuat tanggapan bahawa tentera adalah buruh murahan.

Tegasnya, Yew Yin perlu ingat bahawa tentera Malaysia telah mengorbankan masa depan dan nyawa mereka demi melindungi 30 juta rakyat negara ini.

Sedangkan, orang awam biasa pun tidak mampu untuk memegang senjata bagi mempertahankan tanah air sebagaimana yang dilakukan oleh tentera yang bekerja 24 jam, tujuh hari seminggu.

Dalam kenyataannya, Sharan percaya pandangan Yew Yin itu tidak menggambarkan pendapat seluruh rakyat Malaysia.

“Kepada semua tentera, kenyataan Koon Yew Yin tidak menggambarkan pandangan rakyat Malaysia. Kami, rakyat Malaysia sentiasa berterima kasih di atas khidmat anda kepada kami dan tanah air. Terima kasih,” katanya.

Baru-baru ini menerusi blognya, hartawan itu menyarankan supaya perkhidmatan awam diperbaiki dan mendakwa anggota tentera “tidak melakukan apa-apa kecuali makan dan tidur”.

“Sebenarnya, hampir semua mereka tidak pernah melepaskan tembakan, melainkan pada papan sasar. Malah, ada sebahagian tentera perlu menggantikan pekerja asing di ladang Felda,” kata ahli perniagaan itu. – MalaysiaGazette