Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bangkit menyoal rasional melabel Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai rasis secara konsisten berhubung kontroversi pengenalan tulisan khat.

Walhal, pendakwah terkenal, Zakir Naik yang tidak henti-henti menimbulkan rasa tidak senang terutamanya dalam kalangan masyarakat India di negara ini sehingga wujudnya rasa tidak harmoni antara kaum pula seolah-olah di abaikan.

Rayer dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette sebentar tadi menyoal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh Dong Zong rasis dan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengharamkan pertubuhan pendidikan Cina itu atau sebaliknya.

“Ini adalah kali kedua surat terbuka saya kepada Tun menyoal tentang mengapa Dong Zong dituduh rasis kerana mempersoal tentang pengenalan khat di sekolah Cina dan Tamil baru-baru ini.

“Adalah sangat salah untuk melabel Dong Zong rasis kerana hampir kebanyakan organisasi untuk komuniti Cina, India, Budhha, Sikh dan banyak lagi yang juga menolak pengenalan khat ini. Adakah mereka juga rasis?

“Bagaimana pula dengan tokoh seperti Tan Sri Rafidah Aziz, peguam Siti Kassim, kolumnis Azly Rahman, ahli akademik Dr Tajuddin Mohd Rasdi dan ramai lagi tokoh Melayu juga berpandangan sama, adakah mahu label semua golongan ini sebagai rasis juga?,” soalnya.

Kata Rayer lagi, jika mengikut ‘logik’ Dong Zong di label rasis kerana dianggap sengaja cuba gangu gugat kaum di negara ini, apakah pula kenyataan itu diguna pakai untuk Zakir sekali.

“Ikut logik, Dong Zong dikatakan rasis kerana cuba gangu keharmonian dengan bercakap tentang satu komuniti sahaja, kemudian buat kita semua bergaduh sesama sendiri. Organisasi ini juga di anggap tidak sensitif dengan perasaan kaum majmuk lain di negara ini.

“Kita mahu tahu apa pula peranan Zakir yang pada anggapan kita sebenarnya jauh lebih rasis dengan membuat kenyataan-kenyataan menyakitkan. Mengapakah kamu seolah-olah ‘abaikan’ gajah sebesar itu?

“Saya ingin beritahu anda Tun, adalah sangat salah untuk kamu label Dong Zong rasis. Anda adalah Perdana Menteri Malaysia baharu, di mana kita percaya untuk menyelesaikan isu melalui rundingan secara rasional dan bukan buat tuduhan melulu seperti ini.

“Kita rakyat Malaysia sebenarnya begitu berharap dengan anda untuk keadaan yang jauh lebih baik selepas berdekad pemerintahan kuku besi serta pecah perintah oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Anda dengan melabel Dong Zong rasis sebenarnya membuka pintu kepada keadaan huru hara dan tidak harmoni sama seperti dulu,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Tun M beri muka sangat dengan Zakir Naik – Charles Santiago