Dong Zong

KUALA LUMPUR – Sekali lagi, DAP tampil mempertahankan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zong tanpa berbelah bahagi dengan mengatakan organisasi tersebut tidak sesekali rasis.

Malah kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan sebentar tadi, tidak ada alasan kukuh untuk mengharamkan Dong Zong seperti yang digesa oleh sekumpulan konservatif Islam.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberikan kebebasan bersuara kepada setiap rakyat di negara ini selagi tidak mengancam keselamatan serta ketenteraman umum.

“Dong Zong amat percaya dan hormat kepada Perlembagaan Malaysia, tidak ada sebarang persoalan tentang itu. Mereka percaya bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan manakala yang lain-lain boleh diajar serta dipelajari.

“DAP tidak sesekali bersetuju dengan label Dong Zong adalah rasis walhal sehingga kini mereka tidak gangu gugat hak asasi serta keselamatan rakyat lain di negara ini.

“Saya pasti Tun Mahathir tidak ada sebarang niat untuk mengharamkan Dong Zhong, setelah di antik sekali lagi Perdana Menteri, beliau jauh lebih terbuka dan memberi peluang kepada kebebasan bersuara.

“Malah beliau juga sebelum ini telah memberikan arahan supaya tidak ada sesiapa yang ditahan polis mahupun didakwa kerana mengkritik beliau sebagai Perdana Menteri. Kita percaya beliau tidak ada niat sebegitu (haramkan Dong Zhong,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu mengulas jawapan Dr Mahathir di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi iaitu terpulang kepada Polis Diraja Malaysia untuk mengharamkan Dong Zong atau pun sebaliknya.

Beliau berkata, pertubuhan Cina itu telah secara konsisten membuat kenyataan berbaur perkauman yang boleh mencetuskan rasa kurang senang antara kaum.

Perbuatan tersebut, kata perdana menteri, boleh disifatkan sebagai melanggar undang-undang.

Sebelum ini, Dong Zong tampil membantah rancangan kerajaan untuk memperkenalkan pelajaran khat tulisan Jawi sepanjang tiga halaman dalam sukatan pelajaran darjah empat Bahasa Malaysia dengan dakwaan ianya satu bentuk ‘Islamisasi’. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.