Gambar hiasan
KUCHING – Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam operasi “Blue Devil” yang dijalankan semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kedua-dua anggota itu ditahan berasingan di Kota Samarahan dan Kuching selepas ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis syabu.

“Mereka adalah antara 80 pegawai dan anggota yang menjadi sasaran polis kerana penyalahgunaan dadah di Sarawak.

“Kita (Polis Diraja Malaysia/ PDRM) memandang serius terhadap penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota kerana ia menjejaskan imej pasukan. Kedua-dua anggota kini ditahan untuk pemohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Terima Serah Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di Kelab Polis,Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

PDRM menerusi JSJN telah melancarkan operasi khas dikenali Op Blue Devil bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga PDRM yang bermula sejak dua hari lepas.

Ketua JSJN Sarawak baharu adalah Supt Hasnir Abdul Hamid yang menggantikan ASP Sahar Abdul Latif.

Hasnir sebelum ini memegang jawatan DSP Pelucuthakan Harta JSJN Bukit Aman manakala, manakala Supt Sahar berpindah ke Bukit Aman dan menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Antarabangsa) JSJN Bukit Aman.

— BERNAMA