ISTANBUL – Penyandang Liga Juara-Juara, Liverpool menewaskan juara Liga Europa, Chelsea 5-4 dalam penentuan penalti, sekali gus memenangi Piala Super UEFA selepas permainan terikat 2-2 di Istanbul pagi tadi.

Penjaga gol simpanan Adrian muncul wira apabila cemerlang menafikan sepakan penalti kelima oleh Tammy Abraham.

Adrian baharu ditandatangani ketika musim panas dan mendapat peluang beraksi akibat kecederaan Allison Becker.

Sementara itu, semua sepakan penalti Liverpool berjaya disempurnakan sebelum Mohamed Salah mengambil sepakan kelima Liverpool di laman Besiktas itu.

Ia adalah kemenangan keempat Liverpool dalam pertandingan ini, kali terakhir pada tahun 2005 selepas kejayaan Liga Juara-Juara sebelumnya, juga di Istanbul.

Reds sudah mengumpul 13 kejuaraan Eropah dan mengharapkan untuk kembali ke Istanbul bagi aksi final Liga Juara-Juara musim ini.

Pada perlawanan itu, Sadio Mane muncul wira Liverpool dalam tempoh permainan sebenar apabila memadamkan kelebihan Chelsea hasil jaringan Olivier Giroud untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kemudian Mane meletakkan skuad kendalian Jurgen Klopp di depan pada minit ke-95 sebelum pengadil wanita Stephanie Frappart memberikan sepakan penalti kepada Chelsea selepas Abraham dijatuhkan Adrian. Jorginho menyempurnakan sepakan untuk mengikat Liverpool 2-2.

Pengurus Chelsea, Frank Lampard terus kempunan menjulang Piala Super selepas dua kali sebagai pemain termasuk tewas penentuan penalti kepada Bayern Munich pada tahun 2013. – MalaysiaGazette