KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) dengan kerjasama Gamesbond Global Sdn Bhd (Gamesbond) bakal memperkenalkan kejohanan sukan elektronik (e-sports), E-Piala Malaysia bersempena saingan Piala Malaysia 2019 musim ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam, pihaknya sentiasa terbuka dan teruja bagi memperkenalkan pendekatan baharu dengan mengadakan kejohanan E-Piala Malaysia yang bakal dibarisi pemain-pemain
e-sports berstatus profesional negara.

Jelas Kevin, MFL menyedari perkembangan e-sports semakin mendapat perhatian serius di kalangan masyarakat khususnya generasi muda justeru beliau mengakui MFL turut tidak mahu ketinggalan untuk menyumbang kepada perkembangan e-sports.

“MFL sentiasa mengalu-alukan kerjasama e-sports ini bersama Gamesbond di mana MFL mahu turut terlibat secara serius dalam kejohanan sukan elektronik yang semakin mendapat perhatian daripada generasi muda khususnya membabitkan sukan bola sepak.

“E-sports kini menjadi kegilaan sebahagian daripada remaja di Malaysia ketika ini dan dilihat mampu diketengahkan sebagai aktiviti yang boleh menjamin masa depan golongan belia.

“Aktiviti itu kini bukan sekadar untuk mengisi masa lapang malah ia boleh mendatangkan ganjaran yang lumayan menerusi pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara.

“Saya percaya E-Piala Malaysia ini bakal menghangatkan lagi saingan kejohanan tertua di Asia Tenggara ini yang kini sudah memasuki saingan peringkat kumpulan. Selain itu kita juga merancang untuk menganjurkan pertandingan liga seiring dengan saingan Liga Malaysia musim depan,” katanya menerusi kenyataan MFL di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Urusan Gamesbond Muhammad Fazli Razak menjelaskan, pihaknya telah memilih beberapa pemain ranking terbaik tanah air yang dijangka bakal membuat penampilan di E-Piala Malaysia.

“E-Piala Malaysia kali ini bakal menggunakan permainan video FIFA 20.

“Kita telah senarai pendek dan memilih pemain-pemain e-sports berdasarkan ranking rasmi dan pencapaian antarabangsa yang terbaharu.

“Saya percaya bahawa kerjasama dengan MFL bukan sahaja membuka dimensi baharu dalam sukan elektronik tetapi sebaliknya ia turut menunjukkan Malaysia memiliki ramai pemain-pemain berpotensi tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.