Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu

KUALA LUMPUR – Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), antara modal utama yang digunakan oleh DAP, juga PKR adalah mengkritik kerajaan terdahulu kerana membenarkan syarikat nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) beroperasi di negara ini.

Bagaimanapun selepas PRU-14, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga memutuskan untuk membenarkan Lynas terus beroperasi kerana mendatangkan ‘keuntungan’ dan bukannya ‘berbahaya’ seperti yang didakwa sebelum ini.

Keputusan tersebut  menyebabkan segelintir pemimpin PH terutamanya DAP tidak berpuas hati, apatah lagi sokongan rakyat terhadap semakin merosot selepas terlalu banyak pusingan ‘U’ dilakukan.

Terbaharu, Setiausaha DAP Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Pelek, Ronnie Liu melahirkan rasa kecewa beliau apabila Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) memaklumkan lesen Lynas telah dilanjutkan berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet.

Ronnie menerusi akaun Facebook beliau berkata, tidak ada hukuman mahupun penalti diberikan kepada Lynas kerana pencemaran air bawah tanah di sekitar loji pemprosesan nadir bumi.

“Berita ‘buruk’ telah disahkan. Lesen telah di lanjutkan. Tidak ada hukuman atau penaliti untuk pencemaran air bawah tanah.

“Nampaknya LPTA telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai agensi kerajaan dengan baik.

“Padi harapkan pagar, pagar makan padi. Sedih, sedih, sedih sekali,” tulisnya yang turut di kongsi oleh netizen-netizen lain.

Dua hari lepas Ronnie telah mendapat teguran sinis seperti Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menyelar mereka (pimpinan DAP) yang mengkritik keputusannya mengenai beberapa isu yang tidak popular dengan penyokong akar umbi PH.

“Itu pendapat saya. Pendapat dia bila (kerajaan) halau Lynas ramai pelabur asing akan datang.

“Itu dia punya pendapat. Saya punya pendapat lain. Saya tak tanya dia, sepatutnya saya tanya dia dulu sebelum saya cakap,” tegasnya.

Ronnie sebelum itu berkata, keputusan menutup Lynas tidak akan menakutkan pelabur seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/15/kabinet-sudah-perbaharui-lesen-lynas/