KUALA LUMPUR – Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik meninggalkan Bukit Aman pukul 8.15 malam tadi menaiki sebuah kenderaan selepas keterangannya dirakam oleh polis Bahagian Pendakwaan/Undang Undang (D5) selepas waktu solat Jumaat hari ini.

Beliau difahamkan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Beliau kelihatan duduk di tempat duduk belakang penumpang sebelah kiri dengan berkemeja putih dan berkopiah.

Pemandu yang memperlahankan kenderaan memudahkan lebih 27 wartawan dan jurufoto dan jurukamera yang menunggu sejak pukul 3 petang tadi merakam kenderaannya yang beredar meninggalkan premis ibu pejabat polis itu.

Beliau enggan memberikan sebarang komen berkenaan kehadirannya ke Bukit Aman hari ini ketika kenderaannya ditahan pemberita malam tadi.

Dalam perkembangan sama, seorang wartawan dan subeditor Malaysiakini turut hadir sekitar 3.30 petang ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan saksi oleh pegawai penyiasat D5 sebelum meninggalkan premis 6.45 petang.

Selain mereka, dua pemberita termasuk seorang jurukamera sebuah portal Tamil Vanakkam Malaysia turut dipanggil sebagai saksi oleh polis dan dirakam keterangan.

Kedua-dua pemberita itu kemudian meninggalkan Bukit Aman sekitar 7 petang tadi.

Setakat ini tiada sebarang pengesahan daripada polis Bukit Aman mengenai rakaman keterangan terhadap pendakwah yang kini dikecam masyarakat di negara ini.

Terdahulu, pendakwah kontroversi yang dikehendaki pihak berkuasa kerajaan India itu telah memasuki Bukit Aman untuk dirakam keterangan oleh polis namun media gagal mengesan  tepat waktu kehadirannya.

Beliau dipercayai dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan ceramahnya di Kelantan baru-baru ini yang didakwa berbaur perkauman.

Semalam, Menteri Dalam Negeri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), ahli perniagaan Koon Yew Yin dan penceramah bebas, Dr Zakir Naik, untuk disoal siasat berhubung kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan mereka secara berasingan sebelum ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut diambil ekoran beberapa laporan polis telah dibuat ke atas mereka dan siasatan sedang dijalankan.-MalaysiaGazette