Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 di Hadapan Pintu Masuk Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berpuas hati dengan pencapaian pengajian al-Quran dalam kalangan peserta saudara baharu di Kompleks Darul Hidayah (KDH) sejak ia ditubuhkan tiga tahun lalu.

Menurut Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail, mereka yang turut melibatkan orang kelainan upaya (OKU) telah menunjukkan prestasi baik dari segi tajwid dan taranum sepanjang menimba ilmu di KDH.

Kata beliau, kompleks itu yang dibina tahun 2017 dengan dana zakat dan Jawi sebagai pelaksana telah mengajar kira-kira 500 saudara baru yang menjadi peserta program pengajian agama dan al-Quran.

“Kita bangga pencapaian saudara baru ini. Mereka telah menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam konteks berjaya meningkatkan diri mereka, di mana di Wilayah Persekutuan ini satu-satunya KDH yang ada berbanding negeri lain.

“Kompleks ini dibina menggunakan dana zakat untuk prasarana, manakala Jawi bertindak sebagai pelaksana dengan menyediakan kelas pengajian dan segala keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di pekarangan Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jawi, Maizura Shamsuddin.

Beliau turut membuat gimik pelancaran “Falg Off Konvoi Kemerdekaan” dan sesi penyerahan bendera Wilayah Persekutuan kepada wakil kontinjen Mahrajan Amal Islami Mualaf Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette