KUALA LUMPUR – Malaysia melangkah ke final Kejuaraan AFF Bawah 18 tahun (B-18) di Thu Dau Mot, Vietnam selepas mengalahkan Indonesia 4-3 pada perlawanan separuh akhir sebentar tadi.

Kemenangan skuad negara itu cukup bermakna apabila terpaksa mengharungi perlawanan penuh mendebarkan termasuk serangan bertali arus Indonesia di penghujung permainan sehingga diheret ke masa tambahan.

Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira negara selepas meledak dua gol untuk membantu skuad kendalian Brad Maloney mara ke perlawanan akhir kedua berturut-turut.

Dalam aksi tersebut, Malaysia bermula garang apabila berada di depan pada minit ke-19 hasil sentuhan Mohd Aiman Afif Md Afizul selepas pantas menyambar bola hasil daripada sepakan percuma kapten, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Bagaimanapun, aksi skuad B-18 negara tiba-tiba tenggelam apabila membiarkan Indonesia menguasai permainan dan melakukan asakan terutama menerusi bahagian sayap.

Hasilnya, Beckham Putra Nugraha berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, skuad B-18 negara kembali berada di depan hasil rembatan penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-55 yang menewaskan penjaga gol Indonesia, Ernando Ari Sutaryadi.

Ketika permainan berbaki 10 minit, asakan bertali arus Indonesia berhasil apabila dapat menyamakan kedudukan menerusi percubaan Muhammad Fajar Fathur Rachman yang berpunca daripada hantaran David Maulana.

Tidak sampai dua minit, giliran Indonesia pula berada di depan, hasil jaringan pemain gantian, Muhammad Salman Alfarid.

Keadaan kembali dramatik apabila Malaysia menyamakan kedudukan hasil penalti Harith Haiqal minit ke-85 setelah Muhd. Muslihuddin Atiq Mat Zahid dijatuhkan dalam kotak penalti.

Keputusan 3-3 kekal hingga wisel penamat ditiupkan dan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.

Harith Haiqal muncul wira apabila tandukan terbangnya membolehkan bola menerjah gawang Indonesia, lantas memberi kemenangan moral untuk ke final.

Malaysia akan bertemu juara empat kali, Australia atau Myanmar dalam perlawanan akhir, Isnin ini. – MalaysiaGazette