Teresa Kok

PUTRAJAYA – Mana-mana pihak jangan tersalah tafsir berhubung  gesaan Lim Kit Siang supaya pemimpin DAP berhenti berbalah dengan pemimpin Pakatan Harapan yang lain bagi mengelak perpecahan gabungan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Teresa Kok berpendapat, kenyataan Penasihat DAP itu mungkin membawa maksud lain bagi menenangkan keadaan semasa.

“Saya rasa dia bukan cakap seperti kamu (wartawan) nyatakan sekarang. Dia hanya kata perpaduan dan keharmonian itu penting,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Kit Siang semalam yang mengakui PH sedang dilanda krisis dan merayu semua pemimpin DAP supaya bertenang dan tidak berbalah dengan pemimpin PH yang lain atau berdepan risiko perpecahan dalam gabungan tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian dalam memo dalaman parti bahawa anggota Parlimen dan ADUN DAP agar berunding dengan pimpinan tertinggi DAP sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan PH.

Beliau turut melontarkan amaran sebarang pergeseran sesama pemimpin PH akan menjejaskan keyakinan dan harapan orang ramai terhadap kerajaan pusat baru berusia setahun tiga bulan itu.

Menjawab soalan wartawan Teresa Kok berkata, rakyat perlu memberi ruang dan masa yang secukupnya kepada pemimpin dan menteri Kabinet untuk mencari jalan menyelesaikan segala masalah berbangkit yang kini mencetuskan pelbagai reaksi awam.

“Itu penting dalam memelihara perpaduan dan keharmonian di negara ini.

“Isu Jawi sebelum ini yang mana banyak MP menyuarakan kebimbangan.

“Namun kadangkala kita perlu memberi ruang dan masa untuk menteri Kabinet mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette