EastCap-RKI
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari (tengah kanan) bertukar dokumen dengan Presiden Rumah Koperasi Indonesia (RKI), Bapak Insanial Burhamzah pada majlia pemeteraian perjanjian pembelian 1,000 super dron di Hotel Sentral, Jakarta.

KUALA LUMPUR – Indonesia bakal menjadi negara Asia pertama yang menggunakan super dron penumpang secara komersil sebagai pengangkutan awam bagi menghubungkan penduduk di luar bandar dan ribuan pulau di negara republik itu.

Lebih membanggakan apabila syarikat dari Malaysia, EastCap Berhad bakal menjadi pelopor revolusi pengangkutan awam di Indonesia itu yang kini menjadi rakan strategik pengeluar super dron dari China, iaitu EHang Intelligent Equipment di Guangzhou dan Strong Rich Holdings Limited.

Walaupun super dron ini baru diperkenalkan di Malaysia untuk kegunaan kerajaan dan pihak berkuasa, namun pengangkutan mudah alih itu sudah pun mendapat sambutan baik daripada sebuah syarikat di Indonesia, iaitu Rumah Koperasi Indonesia (RKI).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari, bagi merealisasikan hasrat itu, RKI telah pun memeterai perjanjian dengan pihaknya bagi pembelian 1,000 unit super dron berkenaan.

“RKI telah memeterai perjanjian dengan EastCap bagi pembelian 1,000 unit super dron dengan teknologi Kepintaran Buatan (AI) bernilai RM1.569 billion.

“Dalam perjanjian itu juga, RKI akan membuat pembelian pertama sebanyak 100 unit super dron di mana penghantaran pertama akan dibuat selewat-lewatnya pada September tahun ini.

“Super Dron ini bagi kegunaan dalam operasi pengangkutan logistik & pengangkutan penumpang khususnya di pulau-pulau di sekitar Indonesia.

“Ia juga sebagai alat pengangkutan dalam operasi kecemasan bagi bencana sebagai ambulan, menghantar bantuan bekalan makanan dan perubatan serta mengangkut mangsa bencana,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Super Dron
Antara 100 unit pertama super dron yang ditempah Rumah Koperasi Indonesia (RKI) bersedia untuk dihantar ke Jakarta, September 2019.

Sebelum ini, EastCap Berhad dan RKI telah memeterai perjanjian persetujuan bagi pembelian 1,000 unit super dron bagi kegunaan dalam sektor pengangkutan awam di Hotel Sentral, Jakarta, semalam.

RKI diwakili oleh presidennya, Insanial Burhamzah, manakala EastCap pula diwakili oleh Zakwanhafiz.

Beliau juga berkata, super dron itu akan digunakan dalam sektor pertanian di Indonesia sebagai alat pemetaan kawasan perladangan serta alat perladangan untuk aktiviti membaja dan meracun.

“Ia juga dijadikan sebagai pemangkin sektor pelancongan di Indonesia yang terkenal sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia,” katanya.

Selain itu, katanya kerjasama itu juga akan melihat sejauh mana ia boleh pergi lebih jauh bukan sahaja pembelian bahkan kepada cadangan pembinaan kilang pemasangan super dron di Indonesia.

Turut dibincangkan dalam majlis perjanjian kerjasama berkenaan ialah pembekalan bagi sektor pertanian meliputi penggunaan motosikal elektrik berkapasiti tinggi, traktor pertanian dan peralatan jentera pertanian berasaskan elektrik.

“Kita juga akan memperkenalkan penggunaan ‘Power Bank’ dengan kapasiti tinggi sebagai alat bantuan bagi kegunaan isi rumah ketika berlakunya bekalan elektrik terputus khususnya di kawasan luar bandar serta kerjasama dalam perladangan padi,” katanya.

Sebelum ini, EastCap memperkenalkan super dron penumpnag di Malaysia, yang mana terbukti menjimatkan kos, mesra pengguna dan boleh menyelesaikan masalah mobiliti khususnya di kawasan bandar dan luar bandar sekiranya berlaku kecemasan dan memudahkan pemantauan tanpa kesesakan.

Ini kerana, keupayaan super dron ini boleh melakukan penerbangan bagi ketinggian 300 meter dengan kelajuan maksimum 130 kilometer sejam dengan jarak bagi kapasiti bateri adalah sejauh 110 kilometer.

Super dron ini berupaya membawa maksimum dua orang penumpang dengan maksimum kapasiti 600 kilogram dalam satu-satu masa.

Bagi tujuan pelancongan, Super Dron ini boleh membawa penumpang di antara pulau-pulau pelancongan dengan kos serendah RM80.00 untuk satu perjalanan. – MalaysiaGazette