M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran mempertahankan kenyataannya terhadap Dr Zakir Naik dan tidak akan memohon maaf.

Malah, Kula  berkata bersedia untuk berhadapan tindakan saman daripada pendakwah itu.

“Ingin diulangi bahawa saya mempertahankan kenyataan yang dibuat sebelum ini dan saya tidak akan sesekali meminta maaf kerana bersuara bagi pihak rakyat Malaysia,” kata Kula.

“Jumpa anda di mahkamah,” katanya menerusi kenyataan.

Kula mengesahkan telah menerima notis tuntutan agar beliau membuat permohonan maaf kepada Zakir dalam tempoh 48 jam.

“Satu notis tuntutan bahawa saya memfitnah Zakir Naik diserahkan ke pejabat kementerian saya semalam.

“Dalam surat itu, peguam Zakir memberi saya tempoh 48 jam supaya menarik balik kenyataan saya, meminta maaf dan membayar ganti rugi,” tambahnya.

Semalam Zakir dilaporkan membuat laporan polis terhadap Kula, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, Satees Muniandy kerana didakwa mengeluarkan kenyataan memfitnah pendakwah tersebut.

Laporan itu dibuat susulan kecaman terhadap ceramahnya di Kelantan yang didakwa membandingkan nasib masyarakat beragama Hindu di Malaysia yang menikmati hak sepenuhnya daripada orang Islam di India. – MalaysiaGazette