Siti Norhazliha Kamis ditemui ketika tinjauan mengenai sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-62 di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini kita sering dengar laungan satu Malaysia meniti di bibir setiap rakyat meskipun datang daripada pelbagai latar belakang dan berbezaan, namun kini ia telah lenyap seiring dengan perubahan kerajaan.

Siti Norhazliha Kamis, 33 berpandangan, ketiadaan slogan tersebut memberi impak besar kepada jurang perpaduan rakyat pelbagai kaum dalam negara.

Meskipun baru lebih setahun 1Malaysia tidak lagi digunakan namun rakyat sudah tiada semangat kesatuan di antara satu sama lain yang berlainan latar belakang.

Ia terbukti dengan pelbagai masalah perkauman yang kini semakin memecah belahkan rakyat.

Ujarnya lagi, meskipun 1Malaysia satu perkataan pendek dan ringkas namun ia sebelum ini dilihat mampu mendoktrinkan minda rakyat pelbagai lapisan masyarakat untuk kekal bersatu-padu.

“Semangat 1Malaysia sudah tidak ada. Kalau dulu kita terapkan 1Malaysia jadi Cina, Melayu, India tak nampak sangat perbezaannya.

“Sekarang dah nampak jurang. Bila ada isu melibatkan perkauman ia jadi isu besar di Malaysia. Sebenarnya 1Malaysia memainkan peranan yang penting, sebab bila dah diterapkan ke setiap indivdu terutama kanak-kanak mereka sudah tau dan tiada rasa perbezaan. Mudah perpecahan bila tiada lagi semangat 1Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MGF13082019_DRONE KL_03
Pusat bandar Kuala Lumpur dihiasi kibaran Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan 2019 yang bakal disambut pada 31 Ogos 2019 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018.

Selepas beberapa hari selesainya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memansuhkan slogan 1Malaysia.

Turut dihentikan adalah slogan “Salam 1Malaysia”, “Salam Negaraku” dan “Salam Negaraku Malaysia”

1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Razak pada 2 April 2009, yang mana intipati gagasan itu adalah idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Masalah perpaduan negara tambah Siti, diburukkan lagi dengan perkembangan politik semasa yang turut menyumbang kepada perpecahan rakyat.

“Situasi perpaduan sekarang macam makin berpecah belah dengan politik semasa. Kalau dulu lagi baik berbanding sekarang,”katanya lagi.

Demi menyatukan rakyat dan memastikan perpaduan kembali utuh, tanggungjawab ini tidak boleh digalas oleh seorang individu sahaja, sebaliknya Siti berkata ia tugas besar semua rakyat tidak mengira warna kulit, rambut mahupun asal-usul.

Katanya, semua pihak tidak boleh mementingkan diri sendiri sebaliknya bekerjasama memperbaiki masalah negara ini.

“Perlu ada kerjasama, bertoleransi. Jadi menjelang ulang tahun Hari Kemerdekaan perbezaan antara kaum kurang. Semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan ini supaya kita dapat membina bangsa kita,” katanya. – MalaysiaGazette