KUALA LUMPUR- Sebelum ini rakyat Malaysia boleh saling bersahabat, silaturahim dengan baik walaupun berbeza kaum dan latar belakang.
Namun kini, bagi peniaga Vikeneswaran, 39, keadaan itu semakin terhakis dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau yang sedih dengan perkembangan terkini itu berkata, keadaan tersebut membuktikan bahawa ikatan kesatuan sesama rakyat semakin longgar mengakibatkan masing-masing bergaduh di antara satu sama lain.
“Dulu semua kaum pergi makan boleh sama-sama, pergi mana-mana pun sama-sama. Kalau dalam gambar sekalipun kita boleh tengok kaum masing-masing saling bercampur, sekarang perkara itu sudah tidak nampak lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Senada dengan pendapat tersebut, pemandu teksi Rajenthram Muthusamy, 42, berkata, kekecohan yang berlaku sejak kebelakangan ini berpunca daripada campur tangan pihak yang tidak sepatutnya bercakap dan mempertikaikan agama orang lain.
Tegasnya perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya setiap rakyat perlu saling hormat-menghormati terhadap isu sensitif melibatkan kaum lain.
“Sekarang ni banyak isu perkauman. Banyak kekecohan sekarang. Tidak payah kacau agama orang lain,” katanya.
Seorang pemuda, Francis Onggoron, 39, turut menafikan bahawa negara kini berhadapan dengan krisis perkauman akibat, selain campur tangan asing yang mengambil kesempatan mengulas tentang perpaduan negara, turut memburukkan keadaan.
Meskipun berasal dan menetap di Sabah, bahang kemelut melibatkan rakyat turut mencetuskan kebimbangannya.
Justeru, menurutnya kerajaan adalah pihak paling utama menjalankan tugas menjernihkan keadaan.
“Sekarang ini kita memang ada masalah perpaduan, ia lagi buruk dengan campur tangan pihak asing.
“Untuk menyemai perpaduan supaya bertambah erat, kerajaan sebagai pihak utama perlu menganjur program perpaduan untuk rakyat,” katanya lagi.
Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 pada 31 Ogos yang akan berlangsung dua minggu sahaja lagi, kerajaan disarankan mengadakan pelbagai program yang menggalakkan kesatuan rakyat pelbagai kaum.
Tambahnya, aspek pendidikan juga perlu dikaji semula khususnya dalam mata pelajaran melibatkan perpaduan.
“Perpaduan sebenarnya penting, dengan subjek yang mengetengahkan perpaduan dikaji semula untuk memastikan matlamat ia tercapai,” kata beliau.
Francis turut menyifatkan persediaan sambutan kemerdekaan tahun ini agak suram apabila hanya beberapa kerajaan sahaja yang mengibarkan jalur gemilang.
Semangat menyambut 31 Ogos tahun ini tidak lagi meriah seperti sebelum ini.
“Setakat yang saya nampak di beberapa jabatan kerajaan sudah ada jalur gemilang. Kawasan-kawasan kampung tidak begitu nampak,” ujarnya. -MalaysiaGazette