Seorang wanita jadi mangsa penculikan selepas menerima bunga dan coklat. - foto hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara menerima bungkusan daripada orang tidak dikenali,  seorang pelajar perempuan dari China menjadi mangsa penculikan.

China Press melaporkan, pelajar itu yang baru tiba di Malaysia selama 10 hari dan menginap di sebuah pangsapuri mewah di Jalan Ampang, ibu negara telah menerima bungkusan berisi bunga dan coklat.

Disebabkan alamat adalah betul, maka mangsa menerima bungkusan itu tanpa mencurigakan apa-apa.

Mangsa bagaimanapun menerima panggilan tiga hari kemudian daripada pengirim yang meminta maaf atas kesilapan yang berlaku dan memohon bungkusan dikembalikan.

Apabila cuba memulangkan bungkusan di bawah pangsapuri, dua penjenayah keturunan Cina telah mengugutnya dengan pisau sebelum menculiknya ke dalam kereta, sebelum membawanya ke sebuah rumah di satu kampung Melayu di sekitar Bangi, Selangor.

Ketika dalam kurungan, mangsa dipaksa mendedahkan kata laluan kad bank dan telefon pintar. Penculik mengancam akan menendangnya jika memberi kata laluan yang salah.

Nasib bagaimanapun menyebelahi mangsa apabila dia berjaya melarikan diri melalui tingkap pada malam buta selepas mendapati tiga lelaki yang mengawasinya berada dalam keadaan khayal, dipercayai kerana menghisap dadah.

Mangsa berlari selama 10 minit dalam kegelapan sehingga menemui sebuah rumah yang masih memasang lampu. Dia meminta bantuan daripada tuan rumah yang menolongnya menghubungi polis.

Walaupun berjaya meloloskan diri daripada penculik, dia tetap kerugian kira-kira RM100,000 apabila sebanyak RM14,800 dibelanjakan melalui dua kad kredit yang dilarikan penculik selain kehilangan beg tangan berjenama, telefon pintar serta mata wang ringgit dan renminbi.

Polis sedang menjejak lima suspek dan tidak menafikan kes culik itu didalangi sindiket jenayah berorganisasi.

Penjenayah dilaporkan telah merancang penculikan itu dari awal lagi, termasuk mendapatkan maklumat mangsa melalui aplikasi media sosial Wechat. – MalaysiaGazette