Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan, Dr. Salmah Ishak (dua kanan) diiringi Pengerusi Koperasi Mega Maju Selangor Berhad dan Personal Bank Berhad, Datuk Murugan Supparamaniam (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise Berhad, Mohamed Rastam Shahrom (kiri) melepaskan 'flag off' peserta-peserta pada Larian Generasi Baru Mega Maju 2019 di Publika, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kira-kira 700 peserta pelbagai peringkat kategori dan umur membanjiri dataran Publika, Solaris Dutamas untuk acara larian Mega Maju New Generation Run 2019 pagi ini.

Larian anjuran Koperasi Mega Maju Selangor Berhad dan Personal Banc Berhad itu dilancarkan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan, Dr. Salmah Ishak, yang melepaskan peserta larian bermula kira-kira jam 7.30 pagi.

Acara terbuka itu disertai masyarakat awam dan penggemar sukan larian, selain turut disertai ahli koperasi melibatkan penggiat industri hartanah dan mikro kredit di seluruh Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Mega Maju Selangor Berhad, Datuk Murugan Supparamaniam berkata, program tersebut bertujuan memupuk semangat dan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.

Katanya, walaupun pertama kali dianjurkan, ia berjaya menarik minat ramai peserta yang berusaha menjadikan aktiviti itu sebagai salah satu daripada amalan hidup mereka.

“Hari ini kita berbangga kerana telah memupuk satu komuniti yang menitik beratkan aspek kesihatan dan membudayakan sukan.

“Ia diadakan serentak dengan Bulan Kebangsaan serta sambutan Kemerdekaan ke-62 pada 31 Ogos ini dan kami berbangga dapat membuktikan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menyertai larian ini.

Menurut beliau, program larian itu mampu menyatukan masyarakat melalui medium sukan dan melakukan aktiviti sihat secara bersama.

Acara julung kali itu mempertandingkan kategori lelaki dan wanita terbuka melibatkan jarak larian sejauh lima kilometer melalui sekitar Solaris Dutamas dan Hartamas, Kuala Lumpur.

Juara larian akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta pingat, selain peserta turut berpeluang memenangi hadiah misteri melalui cabutan bertuah. – MalaysiaGazette