KUALA LUMPUR- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Australia dari 19 hingga 23 Ogos ini.

Beliau dijadualkan bertemu dengan pegawai-pegawai atasan kerajaan persekutuan Australia serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri South Australia dan Victoria.

Beliau juga dijadualkan bertemu Ketua Menteri Canberra.

Sejajar dengan misi kali ini, Mesyuarat Pesuruhjaya Bersama Perdagangan (JTC) ke-18 yang akan dipengerusikan bersama oleh Darell dan rakan sejawatnya dari Australia, Simon Birmingham dijangka diadakan pada Selasa ini.

Mesyuarat tersebut akan membincangkan pelbagai isu berkaitan perdagangan dan pelaburan dua hala serta peluang-peluang yang boleh lagi diteroka dalam mengukuhkan perhubungan di antara dua negara.

Misi itu turut disertai pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Institut Automotif, Robotik dan loT Malaysia (MARii), InvestKL Corporation dan Exim Bank.

Darell dan delegasi dari Malaysia akan melawat University of South Australia, Kampus Mawson Lake dan diberi taklimat mengenai projek Industri 4.0 Unisa Lab Space dan MARii dan pelbagai lagi.

Australia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar untuk Malaysia dengan perdagangan keseluruhan direkodkan sebanyak RM55.13 bilion pada 2018.

Malaysia mengeksport RM33.55 bilion ke Australia manakala nilai import dicatatkan sebanyak RM21.58 bilion.

Dari segi pelaburan, sejumlah 350 projek pengilangan telah dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan pelaburan dicatat sebanyak RM2.79 bilion.

Projek-projek tersebut telah membuka 22,626 peluang pekerjaan di Malaysia.- MalaysiaGazette