Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan pegawai jabatan itu bertindak biadap terhadap dua anak saudara lelaki Pesuruhjaya Tinggi Namibia ke Malaysia dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Ogos lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dua lelaki berkenaan dibawa ke pejabat operasi JIM di KLIA hanya untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan lawatan sosial mereka ke negara ini.

“Kedua-dua mereka sebelum itu gagal memberikan jawapan yang memuaskan hati semasa di kaunter ketibaan imigresen,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, media melaporkan Pesuruhjaya Tinggi Namibia, Anne Namakau Mutelo mendakwa dua anak saudaranya, Adventure Simataa Simasiku dan Roydie Mabengano Simasiku ditahan seorang pegawai Imigresen selama tiga jam selepas tiba di negara ini pada 6.25 petang.

Mutelo mendakwa tindakan pegawai itu telah mencabuli hak warga Namibia kerana menahan mereka secara tidak sah.

Khairul Dzaimee berkata, susulan kejadian itu, pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Wisma Putra berhubung tindakan Mutelo yang mencampuri urusan serta prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu.

Katanya, ketika kejadian, Mutelo telah meluru masuk ke pejabat operasi dan mempersoalkan SOP jabatan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi.

“Satu surat bantahan akan dihantar minggu depan kerana beliau (Mutelo) mencampuri urusan dan SOP agensi kerajaan serta menimbulkan perkara yang tidak benar,” katanya. – Bernama