Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media semasa menyertai larian World Stats (WSC) Run 2019 (5 KM) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengecam tindakan berterusan segelinitr ahli politik yang mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan beliau.

Malah kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, tindakan tersebut sebenarnya merugikan kerana kestabilan politik adalah amat penting bagi terus menarik pelabur pada masa kini.

“Ini sebenarnya bukan peranan seorang yang bergelar Ahli Parlimen yang patutnya menumpukan perhatian pada pembangunan kawasan masing-masing.

“Soal Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri adalah sesuatu yang telah ditentukan pada Pilihan Raya Umum yang lepas.

“Manakala pendirian Pakatan Harapan pula, kita memberikan sokongan, dokongan yang padu kepada beliau untuk meneruskan kestabilan politik kerana ianya amat penting untuk menarik pelabur di negara ini.

“Alhamdulillah, setahun kepimpinan Dr Mahathir, kita sudah meletakkan asas yang betul. Saya percaya sekarang ini adalah untuk pelaksanaan dasar-dasar yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata demikian selepas menyertai larian World Stats Congress 2019 di Dataran Merdeka bagi kategori 5 kilometer di Dataran Merdeka awal pagi tadi.

Beberapa hari lepas, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencadangkan Dr. Mahathir supaya meletak jawatan dengan mendakwa Perdana Menteri itu hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

Dakwa Hassan, beliau adalah antara ahli Parlimen yang turut menandatangani surat sokongan kepada Dr. Mahathir untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PH berjaya membentuk kerajaan.

Bagaimanapun Hassan yang menulis demikian dalam laman Facebook beliau menegaskan sumbangan negarawan berusia 94 tahun itu akan tetap dikenang dan dihormati. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.