Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan membuat keputusan mengenai sisa buangan dari Lynas (Malaysia) Sdn. Bhd. selepas mendapat pengesahan daripada pakar-pakar dan saintis yang mengatakan ianya tidak merbahaya.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bagi mengurangkan kesan akibat konsentrasi yang tinggi, kerajaan mungkin membina fasiliti pelupusan kekal (PDF) sisa buangan daripada kilang tersebut di beberapa tempat berbanding hanya diletakkan di satu kawasan sahaja.

“Kita telah hantar pakar untuk melakukan ujian terhadap kawasan tersebut dan mereka mengesahkan ianya tidak merbahaya tetapi ada sesetengah pihak tidak habis-habis mengatakannya bahaya.

“Ia menyukarkan kerajaan untuk membuat keputusan. Apakah kita hendak ikut cakap pakar atau pendapat popular?,” katanya sambil menegaskan beliau mahu mengikut cakap pakar.

Dr. Mahathir berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Statistik Antarabangsa Dunia ke-62 di sini hari ini.

Sambil berulang kali menegaskan bahawa sisa kilang Lynas tidak merbahayakan, Dr. Mahathir menjelaskan kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain membina PDF di negara ini.

“Ada 700 lebih orang bekerja di kilang tersebut. Mereka tidak pernah mengadu (ada bahaya) tetapi jiran-jiran pula yang sibuk (mengadu).

“Kerajaan tidak ada pilihan lain.

“Sama ada kita mahu tutup industri ini dan hilang kredibiliti dari segi pelaburan langsung asing atau kita teruskan sahaja dengan syarat kita pandai menguruskan apa yang dikira sebagai masalah.

“Kita boleh uruskannya (sisa buangan nadir bumi yang dikatakan bahaya),” tambahnya.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan Australia enggan menerima semula sisa buangan tersebut dan Malaysia tidak sanggup untuk membuang sisa kilang Lynas itu ke dalam laut kerana ia akan menyebabkan pencemaran dan menganggu ekosistem hidupan laut.

Maka, kerajaan terpaksa mengambil keputusan untuk membina PDF di sini.

Pembukaan kilang Lynas sejak 2012 telah mengundang pelbagai bantahan oleh pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Pakatan Harapan yang ketika itu masih lagi pembangkang kerana sisa buangan daripada kilang pemprosesan nadir bumi itu dikatakan merbahaya. – MalaysiaGazette