Siti Zailah Mohd Yusoff
Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Politik keterlaluan dan melampau dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjadi punca hilangnya fokus dan inisiatif kerajaan terhadap hal ehwal pekerja.

Akibatnya, tegas Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, produktiviti yang menyumbang kepada kemajuan dan ekonomi negara menjadi terencat menyanggahi harapan seluruh rakyat, khususnya pengundi PRU14 atas perubahan teraju pemerintah negara.

Katanya, kekesalan paling bersarang dalam perasaan warga pekerja khususnya telah melarat kepada aspek rutin kehidupan mereka hingga berubah menjadi ancaman.

“Perkembangan semasa tahun ini dilihat bertambah buruk berbanding tahun lepas apabila secara purata 1,625 pekerja dibuang kerja sebulan, tidak termasuk kedudukan atau jawatan yang bersangkutan dengan politik.

“Ini sebenarnya terlalu besar dalam keadaan kerajaan PH gagal menyediakan peluang pekerjaan sebagaimana dijanjikan, termasuk pelaksanaan berkesan dalam memastikan pematuhan majikan terhadap gaji minimum yang disebut selama ini.

“Apatah lagi, laporan besar juga diterima pihak-pihak kesatuan sekerja mengenai isu diskriminasi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Siti Zailah yang juga Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna Pas Pusat berkata, walaupun tidak dinafikan sebahagiannya kerana aspek ekonomi global yang merudum, tetapi keghairahan politikus PH dalam mengukuhkan sokongan undi telah menjulang sikap perkauman hingga mempengaruhi sektor pekerjaan.

Akhirnya, ujar beliau, dari isu penawaran peluang pekerjaan dan pengangguran, meletupkan pula isu penindasan ke atas warga pekerja.

“Keadaan ini menjadikan semua ‘harapan’, janji dan idealisme yang dikemukakan PH tidak lebih dari kepalsuan dan retorik semata-mata.

“Keadaan makin parah apabila aspek urus tadbir berkaitan antaranya pelaburan asing telah dibayangi kesangsian lantaran negara dimomokkan dengan hutang hingga RM1 trilion oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tidak cerdik itu umpama menghempas batu ke kaki sendiri dan turut menyaksikan ‘kemenangan’ pekerja warga asing yang akan terus masuk dengan pelbagai projek mega dari pusingan-U oleh kerajaan.

Sedangkan, tegas beliau, pekerja tempatan bukan sahaja makin ramai diberhentikan, malah dikenakan syarat lebih ketat dari warga asing yang seolah dihampar permaidani.

“Sebelum situasi menjadi lebih kronik, ada baiknya menteri serta timbalan menteri bagi portfolio yang berkaitan secara terhormat berundur diri.

“Apatah lagi mereka telah menzahirkan protes terbuka terhadap ketua sendiri iaitu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Menurut Siti Zailah, warga pekerja tempatan memerlukan pemimpin, bukan politikus yang leka.

“Kepada warga pekerja di seluruh sektor, anda memiliki hak dan maruah yang sama sekali tidak harus dijadikan bulian atau direndahkan martabatnya oleh mana-mana pihak,” tegasnya.

Kata beliau, pengabaian yang sedang berlaku itu harus dituntut kerana ia terjadi antaranya oleh kebebalan politikus di puncak kuasa.

“Oleh itu pastikan anda sentiasa celik maklumat dan tidak sewenangnya mempercayakan PH lagi,” katanya. – MalaysiaGazette