Hazwan Mohamad
Hazwan Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa melahirkan rasa simpati dengan rakan Pemuda Armada dari sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ahli Jawatankuasa Pusat Berjasa, Hazwan Mohamad berkata, ini kerana setelah sekian lama menyepi dalam isu Dong Zong, tiba-tiba hadir dengan melancarkan petisyen mengumpulkan tandatangan mengharamkan pertubuhan rasis itu.

Katanya, bagi menjayakan usaha itu, Armada terpaksa menunggang institusi mufti di sebuah negeri di utara untuk meraih populariti dan menunjukkan mereka menjuarai isu.

“Sedangkan sebuah solidariti rakyat non-partisan, Gerakan Pengundi Sedar (GPS) telahpun melancarkan petisyen yang sama dan mengumpul lebih 100,000 tandatangan.

“Untuk mengharamkan Dong Zong, saya percaya ia perlu bermula dengan menyemak dan meneliti semula status pendaftaran pertubuhan rasis ini di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sedarkah Pemuda Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah orang nombor satu dalam KDN? Apakah mereka lupa presidennya sendiri mempunyai kuasa untuk mengarahkan siasatan, malah menggantung pertubuhan rasis itu?” soal beliau menerusi satu kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Hazwan, mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355) di bawah Seksyen 5 memperuntukkan kuasa menteri untuk mengisytiharkan pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang dengan peruntukan Seksyen 5(1).

Seksyen itu menyatakan sah di sisi undang-undang bagi menteri menurut budi bicaranya yang mutlak, dengan jalan perintah, mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang, mana-mana pertubuhan, cawangan atau peringkat atau jenis pertubuhan, yang pada pendapatnya, adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana tempat di dalamnya ketenteraman awam atau akhlak.

Oleh itu, beliau menjelaskan, adalah lebih baik jika Armada mendesak secara total presidennya sendiri dengan menggunapakai kuasa yang ada, daripada menunggang isu itu dan bertindak konon menjadi juara.

“Sedangkan kita tahu, suara Armada termasuk Ketuanya (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) sendiri pun tidak begitu kedengaran setiap kali umat Melayu Islam dipijak-pijak dalam pelbagai isu sensitif,” katanya. – MalaysiaGazette