Dr. Ibrahim (tengah) mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Penyelarasan Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
Dr. Ibrahim (tengah) mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Penyelarasan Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) melebarkan sayapnya ke Sabah dan telah mempunyai 23 daripada 25 Ketua penaja Bahagian di negeri itu.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau teruja kerana keunikan di Sabah yang terdiri dari pelbagai etnik, berjaya menubuhkan parti itu di bahagian masing-masing.

Katanya, beliau memberi mandat kepada Putra Sabah yang diketuai Jeffrus Maimin Rijal untuk membawa dan memperjuangkan isu Bumiputera Sabah sepenuhnya.

“Selain isu Bumiputera Sabah, kita juga mencadangkan Putra negeri ini memberi tumpuan pada isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang terlalu lama tertangguh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi perjumpaan khas dengan Jawatankuasa Penyelarasan Putra Sabah di Bilik Mesyuarat Stadium Likas, di Kota Kinabalu, Sabah, petang semalam.

Pada mesyuarat itu, beliau menyerahkan surat pelantikan kepada Jawatankuasa Penyelaras dan Ketua-Ketua penaja Bahagian di Sabah.

Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen iaitu Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Kimanis dan Beaufort.

Selain itu, Sipitang, Ranau, Keningau, Tenom, Pensiangan, Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Kinabatangan, Silam, Semporna, Tawau dan Kalabakan. – MalaysiaGazette