Foto Instagram Diana Danielle

KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Diana Danielle membuat pengakuan yang dia sedang menderita gangguan kebimbangan melampau sejak kebelakangan ini.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik menerusi Instagram milikinya, isteri kepada pengarah dan pelakon, Datuk Farid Kamil memberitahu, masalah itu membuatkan dia sukar bernafas selama beberapa hari dan ia sangat menakutkan.

“Dada saya begitu sesak kerana cuba ‘bertarung’ untuk bernafas. Saya tidak pernah terfikir untuk membuat rakaman video saya menangis seperti bayi dan dipertontonkan kepada seluruh dunia.

“Tetapi, itulah realiti. Saya berkongsi kerana tidak adil jika saya terus menyembunyikannya. Saya perlu terbuka dan cuba mencari jalan penyelesaian seperti yang disarankan mereka yang baik hati,” katanya yang terbuka berkongsi mengenai penderitaan yang dialaminya menerusi rakaman berdurasi 2.50 minit.

Pelakon filem Hanyut itu berkata,  hanya mereka yang pernah mengalami memahami serangan gangguan itu

“Saya tidak peduli bagaimana rambut, wajah dan cara berpakaian saya ketika ini.

“Ini adalah kebenaran yang mungkin ramai cuba nafikan atau mendengar ahli keluarga berkata, ‘bertenang kerana semua itu tidak benar’. Anda juga tidak tahu mengapa ia terjadi, apakah kerana kita lemah atau mengada-ada?

“Sebenarnya, tidak kerana minda, tubuh dan semua yang ada tidak lagi seperti diri kita yang dahulu. Anda mungkin berfikir akan jadi lebih sekiranya cukup tidur.

“Tetapi, semua yang berlaku ini di luar jangkaan. Ia bermain dengan emosi dan menyebabkan saya penat. Saya tidak menangis, kecuali jika ia terlalu melukakan,” luahnya.

Diana turut berkongsi, dia berdepan gangguan itu sejak dua minggu lalu.

Ia bermula dengan tanda awal seperti tapak tangan berpeluh, sukar tidur, dada berdebar, kurang rehat dan hilang selera makan.

“Sangkakan saya mampu bertahan, namun tiga hari lalu, saya mula mengalami tanda asma apabila dada sesak dan sukar bernafas.

“Gangguan kebimbangan melampau sangat menyakitkan, malah memberi kesan terhadap kehidupan harian. Saya mungkin kelihatan ceria, tetapi hari ini saya menangis kerana bernafas tidak puas,” katanya. – MalaysiaGazette