KUALA LUMPUR – Kumpulan Anak Kelantan Prihatin membuat laporan polis terhadap seorang artis Ariz Ramli ekoran kenyataannya di laman sosial yang didakwa menghina rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang.

Jurucakapnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Norlida Daud berkata, artis tersebut yang lebih dikenali dengan nama Caprice telah menghina rakyat Kelantan apabila mengatakan mereka secara tiba-tiba tahu berbahasa Inggeris.

Katanya, kenyataan Ariz di Instgram itu sebagai merujuk kehadiran ramai pengunjung ketika penceramah antarabangsa berkenaan muncul di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, baru-baru ini.

“Kenyataan artis berkenaan jelas telah menyinggung kami sebagai rakyat Kelantan, dan perbuatan berkenaan jelas adalah kenyataan ego beliau selaku seorang artis tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norlida berkata, laporan polis mengenai perkara itu telah dibuat oleh pihaknya semalam di Balai Polis Petaling jaya pada pukul 4.45 petang semalam.

Beberapa laporan lain turut dibuat secara berasingan oleh anak-anak negeri Kelantan susulan perkara tersebut.

“Sebagai pencinta keamanan, kami amat risau sekiranya tindakan ini akan mengundang suasana tidak baik dan persepsi buruk kepada masyarakat Kelantan.

“Kami memohon pihak polis menyiasat apakah tujuan sebenar beliau mengeluarkan kenyataan yang amat dangkal sedemikian dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Video berkaitan: