Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berucap pada Taklimat Media Separuh Tahun 2019 dan Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) untuk Sijil IMS kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR- Prasarana Malaysia Bhd. merancang untuk meningkatkan perolehan sehingga RM900 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi peningkatan jumlah penumpang, keberkesanan kos dan kualiti peningkatan.

Prasarana berjaya mengurangkan kos sebanyak RM248.7 juta setakat 30 Jun 2019, mengatasi sasaran awal sebanyak RM208.4 atau 10 peratus lebih tinggi.

“Kami juga mensasarkan EBITDA kembali positif menjelang 2021,” katanya semasa taklimat media prestasi kewangan separuh pertama 2019 di sini hari ini.

Mohamaed Hazlan bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah perolehan dan EBITDA yang direkodkan Prasarana bagi tempoh sama tahun lepas.

“Kita perlu melihat kepada masa depan. Apa yang penting sekarang, kami diberi mandat untuk meningkatkan jumlah penumpang, keberkesanan kos dan kualiti perkhidmatan,” tegasnya.

Tanpa mendedahkan sebarang angka terkini mahupun prestasi kewangan tahun lepas untuk dibuat perbandingan, Mohamaed Hazlan berkata, syarikat pengangkutan awam itu telah berjaya mengurangkan kerugiannya kepada separuh dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan anak syarikat Prasarana yang mengendalikan perkhidmatan LRT dan Monorail, Rapid Rail Sdn. Bhd. merekodkan peningkatan jumlah penumpang sebanyak 10 peratus kepada 112.7 juta pada 30 Jun lalu berbanding 102.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Rapid Ferry Sdn. Bhd. pula mencatatkan lonjakan jumlah penumpang kepada 700,000 pada 30 Jun 2019 berbanding 200,000 sebelum ini.

Bagaimanapun, Rapid Bus Sdn. Bhd. mencatatkan penurunan jumlah penumpang kepada 81.3 juta berbanding 90.8 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette