KUALA LUMPUR – Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berikutan berdepan masalah kewangan ditambah dengan kegagalan untuk mencari pelabur bagi menyelamatkannya.

Berita itu tersebar selepas desas-desus bahawa syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua yang ditubuhkan pada 1939 sebagai Utusan Melayu dengan penerbitan pertamanya dalam Jawi itu akan menghentikan operasi pada Rabu ini selepas beroperasi selama 80 tahun.

Pada 30 Jun, 2019 ia mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM261.61 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata berdasarkan prestasi segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan semasanya, ahli lembaga tidak pasti bahawa kumpulan akan dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.

“Disebabkan keputusan yang merosot seperti di atas, kumpulan mengalami kekangan aliran tunai dan telah secara serius berusaha menangani isu itu dengan meningkatkan usaha bagi penjualan harta tanahnya.

“Bagaimanapun, kemajuan penjualan itu terjejas teruk oleh sentimen pasaran perlahan, sekatan dan syarat pihak berkuasa relevan dan dengan itu syarikat tidak dapat menyelesaikan isu aliran tunai dengan kadar segera,” katanya.

Ia juga berkata, adalah mustahil untuk kumpulan itu meyakinkan pelabur berpotensi untuk menyelamatkan perniagaan itu.

“Beberapa pihak berpotensi yang dikenal pasti telah enggan untuk mengambil bahagian disebabkan liabiliti besar ditanggung kumpulan,” katanya.

Oleh itu, kumpulan tidak dapat memenuhi syarat Bursa Malaysia untuk meningkatkan daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Situasi semasa itu telah menjejaskan hak Bursa Malaysia Securities Bhd untuk meneruskan langkah menggantung urus niaga sahamnya dan untuk nyahsenarai syarikat itu sekiranya ia gagal mengemukakan pelan penstrukturan semula kepada pihak berkuasa hari ini.

Sehubungan itu, Utusan berkata, pihaknya sedar bahawa Bursa Securities boleh mengambil sebarang tindakan relevan termasuk menggantung urus niaga sekuriti disenaraikan pada hari keenam pasaran selepas tarikh notis penggantungan.

Semasa urus niaga ditutup hari ini, sahamnya naik satu sen kepada 11 sen dengan 11,000 saham diniagakan.

Sejarah Utusan bermula di Queen Street, Singapura.

Ia ditubuhkan oleh Yusof Ishak, yang kemudian menjadi presiden pertama Singapura.

Ia kemudian memindahkan ibu pejabatnya ke ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur selepas Merdeka pada 1958.

Semasa zaman kegemilangannya, edaran suratkhabarnya memuncak sehingga 350,000 naskhah sehari pada 1990-an dan ia merupakan suratkhabar terlaris di negara ini.

Bagaimanapun, ia semakin kurang mendapat sambutan selepas 2004, apabila edarannya merosot kepada 250,000, dan terus merudum kepada 144,438 naskhah pada separuh pertama 2016.

Utusan berdepan masalah sejak 2012, dan pada Ogos tahun lepas, ia memasuki kriteria PN17 selepas gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta. – Bernama