Raja Petra Kamarudin
Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin

KUALA LUMPUR – Bloggger kontroversi, Raja Petra Kamarudin mengakui dirinya ahli Pas dan menghormati presiden parti itu sehingga kini.

Menurutnya, penglibatannya bermula semasa di Terengganu sekitar hujung 1990-an.

Malah katanya, keahliaannya disokong oleh Datuk Mustaffa Ali dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Sejak tahun 1997 sampai sekarang, katanya, dia akan mencium tangan Abdul Hadi sebagai menghormatinya sebagai presiden parti tetapi tidak pernah mencium tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebenarnya pada 1997, bila Harakah mula ruangan English, Mustafa (pengerusi Harakah ketika itu) jemput saya jadi kolumnis dan masa itu ayah Latheefa Koya jadi pengarangnya.

“Dalam kolum itu, saya kutuk Anwar sampai Datuk Kamarudin Jaafar tulis surat kepada Harakah hentam saya,” ujarnya dalam video rakaman bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam di Manchester hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas anggapan ramai yang dirinya sering berubah pendirian mengikut arus politik negara dan tidak tetap kepada satu parti sahaja.

Malah menurut Raja Petra, semasa Anwar ditangkap pada tahun 1998, dia juga menyokong penahanan bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, selepas bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor mahu Pas bersimpati dengan kes Anwar, dia akur dan terlibat dalam Keadilan.

Malah Anwar ketika itu mahu dia menjadi menjadi pengarang Berita Keadilan dan kemudiannya ditegur kerana mengkritik pembangkang.

Akibatnya, Anwar menulis surat dari penjara ketika itu kepadanya dan dia menjawab ia adalah hak dan kebebasan bersuara.

Menurutnya, semasa bekerja dengan Keadilan, dia tidak pernah menjadi ahli parti itu tetapi akhirnya akur berbuat demikian atas desakan kerana bekerja dengan Keadilan.

“Mana boleh you bekerja dengan Keadilan tetapi you ahli Pas. Akhirnya sain Keadilan dan automatik lucut Pas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah memperbaharui keahliannya selepas setahun.

Apa pun, beliau menegaskan, perkhidmatannya dengan Keadilan ketika itu semata-mata kepentingan Pas.

Namun selepas Pas disingkir dari Pakatan Harapan dan penubuhan Parti Amanah Negara, Raja Petra kini beralih menyokong Pas sahaja.

Malah dalam politik sekarang apabila Pas bekerjasama dengan UMNO, beliau tidak menolak kemungkinan menyokong UMNO demi Pas.- MalaysiaGazette