Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mengekalkan pendekatan mesra perniagaan untuk menarik pelaburan ke dalam negara dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia merekodkan peningkatan 97.2 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi semua sektor kepada RM49.4 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding RM25.1 bilion tempoh sama tahun lalu.

FDI pembuatan yang diluluskan bagi sektor pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 74.2 peratus kepada RM33.1 bilion untuk separuh pertama 2019, daripada RM19.0 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

FDI bernilai RM11.7 bilion adalah berasal dari Amerika Syarikat dan ini menjadikan negara itu sebagai sumber terbesar FDI pembuatan diluluskan dalam tempoh tersebut.

Negara China pula merupakan sumber kedua terbesar dengan RM4.8 bilion. Singapura berada di tempat ketiga dengan FDI RM3.1 bilion dan Jepun pula sumber yang keempat terbesar dengan FDI RM2.1 bilion

“Dokumen Kedudukan Pelaburan Antarabangsa yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah stok pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia telah meningkat sebanyak 10.3 peratus kepada RM667.5 bilion dalam suku kedua 2019, daripada RM605.1 bilion pada tahun lalu.

“Peningkatan jumlah stok FDI secara berterusan ini menunjukkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa, sewaktu dunia dilanda perang perdagangan.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pula menyatakan bahawa FDI pembuatan yang diluluskan bernilai RM33.1 bilion ini akan mencipta sebanyak 30,449 peluang pekerjaan dalam masa terdekat. Kerajaan akan terus mengekalkan pendekatan mesra perniagaan (business-friendly) untuk menarik pelaburan ke dalam negara dan mencipta peluang pekerjaan yang berkualiti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette