Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (dua kiri) bercakap pada sidang media mengenai Himpunan Penyatuan Ummah ditemani Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – UMNO belum buat keputusan berhubung jangkaan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah.

Ini kerana menurut Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, beliau difahamkan pihak tertentu akan membuat rayuan di mahkamah.

Katanya, beliau akan ke Sabah menemui kepimpinan UMNO negeri itu pada 25 Ogos ini untuk berbincang dan mendapatkan pandangan.

“Selepas pertemuan dan perbincangan itu, saya akan kemukakan laporan kepada Presiden parti (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan beliau akan tentukan apa yang akan dilakukan.

“Buat masa ini, kita tunggu proses rayuan dahulu. Kalau tolak, kita akan bantu UMNO Sabah berkempen,” katanya pada sidang media khas Perhimpunan Panyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Minggu lalu, mahkamah menolak kemenangan Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu kerana ada tambahan kertas undi yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan sama ada perlu diadakan PRK Parlimen Kimanis, Sabah atau tidak, selepas tamat tempoh 14 hari rayuan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, Datuk Seri Anifah Aman, mempunyai hak untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh itu selepas Mahkamah Pilihan Raya Sabah membatalkan kemenangannya.

Pada PRU-14, Anifah yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau memperoleh 11,942 undi berbanding calon Warisan, Karim Bujang dan Jaafar Ismail dari Harapan Rakyat yang masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.

Menurut Annuar, jika berlaku penolakan ke atas rayuan itu, UMNO akan duduk bersama Pas berbincang untuk mengatur gerakan membantu parti itu di Kimanis. – MalaysiaGazette