Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perjumpaan Santai Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Kompleks Darul Puteri Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Berhenti mainkan isu perkauman dan perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan.

Demikian ulas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan dikeluarkan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang menyentuh isu Melayu dan bumiputera, baru-baru ini.

“Tiada siapa menghalang jika kita tingkatkan usaha dakwah lebih berkesan, menyebarkan syiar Islam sesuai dengan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan. Begitu juga untuk menjaga kepentingan masyarakat Melayu Bumiputera mengikut peruntukan 153 dan kedaulatan Raja-raja.

“Tetapi tidak wajar kita hebahkan dan tajamkan isu sentimen permusuhan kaum dalam keadaan sekarang. Tanggungjawab kita adalah untuk membina, mengawal keharmonian antara rakyat.

‘Lebih senang untuk memanaskan suhu politik kaum, lebih sukar untuk mempertahankan keamanan, kedamaian dan keadilan bagi semua rakyat,” katanya pada sidang media selepas siri Jelajah Presiden ke PKR Wilayah Persekutuan di Kompleks Darul Putri, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sejarah berkaitan Melayu tidak boleh dipertikaikan kerana ia menjadi asas kepada kedaulatan Raja-raja, kedudukan Bahasa Melayu dan Islam di negara ini.

“Akan tetapi ini negara Malaysia dan warganegara ada hak yang sama serta kebebasan. Namun ada pengecualian dan keistimewaan dalam negera ini dalam mengiktiraf kedudukan bahasa, agama, Melayu dan raja-raja.

“Saya ingat cukup dan memadai serta wajar untuk kita sekarang memulihkan harmoni dan kasih sayang antara satu sama lain dalam negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette