Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang tidak menyumbang kepada sebarang bentuk pembangunan serta integrasi negara selepas kemerdekaan.

Malah beliau turut mendakwa, akhbar tersebut hanya dijadikan sebagai medium untuk mencetus perkauman, menimbulkan kebencian serta memecah belahkan politik dan ketaksuban setiap hari.

“Beberapa tahun yang lalu, akhbar ini membawa tajuk berjudul ‘Apa lagi Cina mahu?’

“Mungkin disokong oleh pemimpin-pemimpin penting yang pernah berkuasa dalam UMNO serta mempunyai kawalan ke atas semua institusi kerajaan termasuk polis yang menggalakkan editor dan penulis Utusan untuk sentiasa mengagungkan undang-undang.

“Utusan juga sering digunakan untuk menumpukan kepada pemimpin Pakatan Harapan seperti Dauk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) hingga terpaksa membawa kepada tindakan undang-undang dan saman kerana memfitnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Rayer berkata, beliau bersimpati dengan nasib pekerjanya yang kini mengalami nasib tidak menentu dan berharap kerajaan PH dapat mencari jalan alternatif untuk membantu mereka dengan menawarkan pekerjaan di jabatan-jabatan kerajaan kerana masing-masing mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.

Ujarnya, beliau percaya bahawa pekerja-pekerja terbabit tidak bersalah kerana hanya menjalankan arahan oleh editor masing-masing yang tunduk dengan UMNO.

“Saya fikir kematian Utusan akan menjadi kejayaan kepada Pakatan Harapan yang paling besar apabila kita mencari pengasingan perkauman di negara ini dan meraikan 62 tahun kemerdekaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette