Mohamed Azmin Ali

PETALING JAYA – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini dilihat gagal lagi menghadiri Mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan di sini hari ini.

Mesyuarat yang bermula jam 5 petang tadi dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Turut kelihatan adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar.

Ini adalah mesyuarat mingguan yang dibuat oleh kepimpinan PKR bagi membincangkan mengenai hal-hal dalaman parti.

Difahamkan, Mohamed Azmin hari ini menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anwar semalam berkata, mesyuarat hari akan membincangkan pendirian parti itu berhubung kenyataan penceramah kontroversi dari India, Dr. Zakir Naik terhadap penganut Hindu dan kaum Cina di negara ini.

Untuk rekod, Mohamed Azmin telah lapan kali gagal menghadirkan diri pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR pada dua tahun lalu. -MalaysiaGazette