Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyokong langkah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memperkenalkan perkhidmatan sewa motosikal e-hailing atau gojek di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, ia merupakan satu usaha bagi memperkasa sektor e-dagang di Malaysia.

Menurutnya, satu kajian pengguna daripada iPrice dan Parcelperform Group yang melibatkan 80,000 pengguna e-dagang di rantau ASEAN mendapati Malaysia mempunyai masa penghantaran purata e-dagang yang terpanjang berbanding negara-negara lain di ASEAN.

“Masa penghantaran purata e-dagang di Malaysia adalah lima ke laoan hari berbanding purata 3.8 hari di rantau ASEAN. 43 peratus pengguna e-dagang yang dipantau juga tidak puas hati dengan perkhidmatan penghantaran e-dagang di Malaysia.

“Di Indonesia, gojek menawarkan perkhidmatan goSend commerce di mana pengguna yang membeli barangan di platform e-commerce boleh pilih opsyen penghantaran melalui gojek yang jauh lebih pantas berbanding penghantaran biasa.

“Malah perkhidmatan gosend commerce same day delivery juga ditawarkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Justeru katanya, sebagai menteri yang bertanggungjawab membangunkan ekonomi domestik serta turut mengawal selia industri e-dagang tempatan, beliau percaya kehadiran gojek mampu memanfaatkan pengguna platform e-dagang tempatan.

Ujarnya, laman rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri bersedia bekerjasama dengan gojek dan pemain-pemain e-dagang bagi merancakkan pembangunan ekonomi digital di Malaysia. – MalaysiaGazette