Kapal tangki Grace 1, kini di kenali sebagai Adrian Darya 1 dalam perlayaran ke Mediterranean selepas dilepaskan dari Gibraltar . foto BBC

ATHENS – Amerika Syarikat akan mengambil apa sahaja bentuk tindakan untuk mengelakkan kapal tangki Iran berlayar di Mediterranean daripada menghantar minyak ke Syria, kata Setiausaha Negara, Mike Pompeo.

Kenyataan itu dibuat selepas Greece memaklumkan negara itu tidak menerima sebarang permohonan daripada Adrian Darya 1 – untuk berhenti di salah satu pelabuhannya.

Washington telah memberi amaran kepada Greece jika membantu kapal milik Tehran itu.

Kapal tangki yang dahulunya dikenali sebagai Grace 1 telah meninggalkan Gibraltar pada hari Ahad dan data jejak kapal menunjukkan ia menuju ke Pelabuhan Kalamata di pantai utara Peloponnese dan dijangka tiba pada hari Isnin depan.

“Kami telah membuat kenyataan yang jelas bahawa sesiapa yang menyentuhnya, sesiapa yang menyokongnya, sesiapa yang membenarkan kapal tiba di dermaga berisiko menerima sekatan dari Amerika Syarikat.

“Sekiranya kapal itu kembali ke Syria, kita akan mengambil tindakan yang konsisten dengan sekatan tersebut untuk mencegahnya,” kata Pompeo kepada wartawan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, jika minyak tangki itu dijual, hasil itu akan digunakan oleh unit elit Pengawal Revolusi Iran.

“Kami mahu menafikan sumber mereka yang akan digunakan untuk meneruskan kempen keganasan,” kata Pompeo.

Kapal tangki itu membawa kira-kira 2 juta tong minyak. – MalaysiaGazette