Persekutuan Pekilang -Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengenakan levi RM10,000 bagi tempoh tiga tahun, dan bukannya meminta majikan membayar jumlah itu setiap tahun untuk melanjutkan khidmat pekerja asing mahir mereka.

KUALA LUMPUR – Kalangan ahli Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) masih kekal berhati-hati terhadap prospek aktiviti perniagaan bagi separuh kedua (H2) 2019 berikutan faktor luaran seperti ketegangan perdagangan Amerika Syarikat(AS)-China dan langkah Brexit di Britain.

Memetik dapatan kaji selidik yang diumumkan hari ini, Presiden FMM Datuk Soh Thian Lai berkata, hanya 29 peratus daripada 509 responden projek itu menjangkakan peningkatan aktiviti perniagaan pada H2 2019 manakala baki 71 peratus berpendapat sebaliknya.

“Selain itu, hanya 25 peratus responden mengunjurkan jualan tempatan dan eksport akan meningkat pada 2H 2019,” katanya pada sesi taklimat media bersempena pengumuman Kaji Selidik Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bagi separuh pertama 2019, di sini, hari ini.

Tinjauan itu dijalankan pada 4 Jun hingga 28 Julai, 2018 dan disertai seramai 509 ahli FMM di seluruh negara.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata 43 peratus responden juga menjangkakan kos pengeluaran masing-masing akan meningkat tidak lama lagi.

Mengenai kaedah meningkatkan prospek perniagaan itu, Soh berkata 45.8 peratus daripada respoden berharap perjanjian perdagangan bebas Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia dapat dimuktamadkan seberapa segera memandangkan hanya dua negara di rantau ini – Singapura dan Vietnam yang telah memeterai perjanjian sama dengan EU.

Selain itu, sehingga 40.7 peratus responden juga berasakan bahawa Malaysia perlu memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

RCEP merupakan cadangan perjanjian antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara Asia Pasifik seperti Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

“Sebanyak 25.3 peratus daripada mereka turut berharap Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dapat ditandatangani,” katanya merujuk semakan semula perjanjian itu yang dimeterai 11 negara anggota termasuk Malaysia pada 8 Mac lepas.

Bagaimanapun setakat ini, Malaysia dan tiga negara lain iaitu Brunei, Chile and Peru masih belum meratifikasi perjanjian tersebut.

Dari sudut lebih positif, Soh berkata sebanyak 34 peratus responden itu telah menerima kehadiran Industri 4.0 dengan melaksanakan automasi pada separuh pertama 2019 manakala 33 peratus sedang menimbangkan perkara tersebut.

Selain itu bagi meningkatkan produktiviti, sebanyak 74 peratus responden telah mengambil langkah mengikuti latihan dan menambah kemahiran manakala 71 peratus menambah baik aspek kemudahan mesin dan peralatan, katanya.

Beliau juga yakin inisiatif itu dapat melonjakkan eksport negara untuk melepasi angka RM1 trilion tidak lama lagi memandangkan jumlah eksport itu telah mencecah paras RM998 bilion pada tahun lepas.

Mengulas harapan terhadap Belanjawan 2020, beliau berkata sebanyak 16 peratus responden mengharapkan pengumuman mengenai pengurangan cukai secara umumnya manakala 15 peratus mahukan dasar pekerja asing yang lebih jelas.

“Sebanyak 10 peratus daripada mereka berharap isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) seperti pengecualian bahan mentah, dapat ditangani dalam belanjawan akan datang itu,” kata Soh.

Belanjawan tahun ini dijadual dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober ini. – MalaysiaGazette