Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini perlu mengambil langkah tegas dalam mempertahankan Dr Zakir Naik daripada desakan pemimpin DAP dan Hindraf yang mahu pembatalan kerakyatan tetap pendakwah bebas itu serta pengusirannya dari negara ini.

Pengerusi Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP) Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Muhamad Zuhaili Saiman berkata, kejayaan mengusir Zakir akan menjadikan musuh Islam menguasai dan mencatur Malaysia atas kepentingan mereka yang jelas tidak memihak kepada apa sahaja keuntungan dan kepentingan Islam.

Katanya, isu ini perlu dipertahankan dengan kebangkitan ummah bagi memberi pengajaran agar tiada lagi pihak yang boleh perlekeh perkara-perkara yang melibatkan kepentingan dakwah dan ummah.

“Isu ini bukan sekadar isu politik, tetapi ia melibatkan isu imej ummah yang berhadapan dengan suara sumbangan mereka yang anti Islam dan memusuhinya.

“Sudahlah insiden kematian arwah Muhammad Adib belum terbela, isu pengajaran khat Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan yang tunduk pada desakan Dong Zong dan banyak lagi.

“Fokus utama dalam mempertahankan Dr Zakir Naik ialah isu hak kemanusiaan. Ini kerana ancaman nyawa yang dijangka jika beliau dipulangkan kembali kepada kerajaan India.

“Tuduhan yang dikenakan oleh beliau yang diburu oleh Kerajaan India adalah dilihat suatu perancangan sulit dalam menyekat kemaraan dakwah beliau dalam perbandingan agama yang menarik ramai kalangan bukan Muslim antaranya penganut Hindu dan Kristian yang akhirnya terbuka hati menerima Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zuhaili berkata, mempertahankan pendakwah tersebut merupakan tanggungjawab sesama Muslim dan membiarkannya terancam sehingga tahap nyawa adalah satu malapetaka di sisi Islam.

Ini kerana katanya, nyawa seorang Mukmin yang hilang tanpa hak, lebih besar nilainya daripada kehilangan seisi dunia.

Tambah beliau, Zakir merupakan pendakwah khususnya dalam bidang perbandingan agama dan seruan beliau adalah mengajak manusia kepada Allah.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab kita mempertahankan pejuang agama yang tegas mempertahankan kalimah Allah.

“Membiarkan mereka (Zakir) terancam itu merupakan satu kezaliman dan penindasan serta penganiayaan yang tidak boleh dibuka peluang,” ujarnya.

Katanya lagi, mendedahkan seorang Muslim kepada musuh merupakan satu perbuatan haram kerana ikatan sesama Islam adalah atas simpulan akidah yang merentasi segala sempadan yang ada.

Seorang Muslim mesti mengasihi dan memelihara saudaranya sebagaimana terhadap dirinya sendiri, ujarnya.

“Lantaran itu, seorang Muslim tidak sepatutnya menyerahkan saudara Muslimnya yang lain kepada pihak musuh untuk disakiti.

“Ummah usah bertelagah isu cabang dan method pengajian. Fokus utama kita dahulukan sebagaimana tiga perkara yang disebutkan di atas. Ummah mesti bangkit dan bersatu,” tegasnya. – MalaysiaGazette