Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Kes video intim melibatkan menteri Pakatan Harapan (PH) dan kes rogol ADUN dari DAP kini seolah-olah dilindungi dan dikaburi dengan isu Dr. Zakir Naik dan tulisan Jawi.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kedua-dua isu itu tidak wajar diperbesarkan oleh pemimpin PH yang melihat Zakir dan tulisan Jawi sebagai ancaman terhadap kestabilan negara.

Sebaliknya, tegas beliau kerajaan PH menjadi punca kepada pepecahan perpaduan kaum dan keharmonian negara gara-gara tidak cekap mengawal krisis yang berlaku.

“Senario politik negara semakin hari dilihat semakin meruncing apabila berlakunya pelbagai isu politik dalaman seperti ucapan Zakir dan isu Jawi yang ditentang oleh pertubuhan Cina dan India.

“Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu haruslah bersatu padu dalam memperjuangkan isu yang berkaitan kepentingan orang Melayu Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najmil yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu berkata, kerajaan PH yang mempunyai kuasa dilihat tidak berusaha untuk melindung kepentingan orang Melayu dengan mengharamkan Dong Zong dan Jiao Zong yang mengancam kepentingan Melayu di negara ini.

Tegasnya, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia akan terus konsisten dalam membela hak bangsa Melayu yang semakin terjejas kerana kerakusan kerajaan PH yang mengancam hak serta kepentingan kaum majoriti itu. – MalaysiaGazette