Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik perintah pembekuan dua akaun dagangan saham milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda Kandasamy yang ketika ini berhadapan dengan kes rasuah.

Dengan itu, SPRM membebaskan dua akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) pada Selasa susulan notis usul yang difailkan oleh Arul Kanda yang memohon supaya akaunnya itu tidak lagi dibekukan.

Akaun-akaun tersebut dibekukan sebelum ini berikutan siasatan skandal 1MDB.

Peguam Arul Kanda, Datuk S. Sivananthan memberitahu mahkamah pemohon menarik balik notis usul tersebut kerana akaun-akaun berkenaan tidak lagi dibekukan dan pemohonan tersebut diluluskan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Arul Kanda bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah kerana cuti sakit.

Menurut Sivananthan, Arul Kanda memfailkan notis usul tersebut kerana tiada pendakwaan mahu pun sebarang tindakan diambil ke atas beliau sepanjang tempoh setahun sejak akaun-akaun berkenaan dibekukan.

Secara keseluruhan, terdapat sembilan akaun termasuk dua akaun CDS tersebut dibekukan oleh SPRM bagi tujuan siasatan kes penggubahan wang haram.- MalaysiaGazette