Dewan Bahasa dan Pustaka

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka membantah keputusan Kementerian Belia dan Sukan menukar nama Hari Sukan Negara 2019 kepada My Sports Challenge 2019 (MySC’19).

“Penjenamaan semula ini menunjukkan Kementerian Belia dan Sukan tdak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu termasuk dalam program rasmi kerajaan,” kata DBP dalam kenyataan di sini.

DBP merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa 1963/67 yang memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

Katanya, bahasa rasmi yang dimaksudkan bahasa yang digunakan dalam semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

DBP turut mencadangkan nama program dibuat secara dwibahasa iaitu dengan mendahulukan bahasa kebangsaan dan diikuti dengan terjemahan sekiranya ia diadakan di peringkat antarabangsa.

“DBP menyarankan semua agensi kerajaan dan kementerian mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara serta wahana konumikasi dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong ketika mengumumkan penggunaan nama “Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19)” berkata, pembaharuan itu tidak merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Steven berkata ia antara lain bertujuan memperluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Beliau berkata penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan, bukan sahaja dalam kalangan penggiat sukan tempatan, malah turut melibatkan sektor sukan antarabangsa. – MalaysiaGazette