Dr. Ibrahim dan Dr. Zakir dalam pertemuan tiga jam di kediaman pendakwah bebas antarabangsa itu di Putrajaya malam tadi.
Dr. Ibrahim dan Dr. Zakir dalam pertemuan tiga jam di kediaman pendakwah bebas antarabangsa itu di Putrajaya malam tadi.

KUALA LUMPUR – Rakyat sepatutnya berasa bangga dan bertuah kerana tokoh pendakwah Islam terkemuka dunia, Dr. Zakir Naik menjadikan Malaysia sebagai negara pilihannya untuk bermastautin.

Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, dengan itu menjadi tanggungjawab keseluruhan rakyat untuk merai dan menjaga keselamatan tokoh perbandingan agama itu dari apa juga ancaman.

“Allah menghantar Dr. Zakir ke negara kita Malaysia yang pasti membawa berkat dan hidayah.

“Maka kita umat Islam Malaysia sangat beruntung kerana Dr. Zakir memilih Malaysia sebagai negara pilihannya dari banyak negara yang membuka pintu untuknya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Ibrahim, beliau berkesempatan mengunjungi tokoh pendakwah itu di kediamannya di Putrajaya dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam tadi.

“Saya amat teruja kerana perjumpaan kali ini mengambil masa tiga jam dan dapat berbincang banyak perkara dan isu.

“Sebelum ini saya berkesempatan bertemu dengan Dr. Zakir beberapa kali sepanjang tokoh terkemuka Islam ini mendapat taraf penduduk tetap Malaysia,” katanya.

Pada 16 April 2017, Dr. Zakir dianugerahkan Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sempena syarahan perdana oleh pendakwah bebas antarabangsa itu, yang dihadiri lebih 500 tetamu undangan.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga Presiden Perkasa memberitahu, apabila Hindraf dan 20 individu memohon semakan kehakiman di mahkamah bagi tujuan menghalau Dr. Zakir, NGOnya tampil dengan berani memohon sebagai pencelah pada 7 September 2017 dengan melantik Firma Guaman Adnan Seman.

“Kita berdoa kepada Allah agar Dr. Zakir sentiasa sihat dan selamat serta terus menjalankan tugas dakwahnya membawa risalah kebenaran Islam dalam bidang perbandingan agama serta menyebarkan syiar Islam kepada seluruh umat manusia sejagat,” katanya. – MalaysiaGazette