Antara dokumen yang dibawa ke perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. 14 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan kepada Jumaat ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, mengambil keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB bagi memberi laluan untuk kes SRC International Sdn Bhd diselesaikan terlebih dahulu.

Pasukan pembelaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebentar tadi memberitahu Collin bahawa prosiding SRC International Sdn. Bhd. melibatkan anak guamnya masih lagi berjalan ketika ini.

Malah kata Shafee Abdullah, pihaknya juga telah memohon semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan pada Isnin berhubung pelantikan Datuk Gopal Sri Ram sebagai pendakwa kanan ‘ad hoc’  dalam perbicaraan 1MDB kelak.

Shafee Abdulah juga memberitahu hakim bahawa pihaknya tidak akan dapat menghabiskan sesi soal balas dengan saksi terakhir SRC International, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain sebaliknya mungkin akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari.

“Kita akan cuba percepatkan soal balas tapi akan ambil masa dua hari setengah sebenarnya,” katanya.

Hakim Collin kemudian memerintahkan pengurusan tarikh kes itu didengar sekali lagi esok petang selepas selesai perbicaraan SRC International bagi menentukan tarikh berkaitan 1MDB.

Najib menghadapi empat tuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014.

Perbicaraan SRC International kemudian disambung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebentar tadi dengan peguam bela, Harvinderjit Singh menyambung soal balas Rosli berhubung siasatan SPRM berkaitan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta. – MalaysiaGazette