Bung Mokhtar Radin
Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer perlu mencerminkan dirinya terlebih dahulu sebelum menuduh Utusan Malaysia membuat laporan berbaur perkauman dalam akhbar bercetak berbahasa Melayu itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin menegaskan, Rayer perlu sedar bahawa lidah rasmi orang Melayu itu sudah pun berjuang berpuluh tahun sebelum Rayer lahir.

“Akhbar Utusan adalah wadah suara orang Melayu dan Bumiputera. Utusan telah berjuang berpuluh-puluh tahun sebelum RSN Rayer lahir pun.

“Rayer menuduh Utusan rasis, adakah Rayer melihat di cermin sama ada dia rasis atau pun tidak?,” katanya ketika menciap di akaun Twitternya, hari ini.

Rayer dalam satu hantaran di Facebook, Selasa lalu menulis keputusan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. untuk menghentikan akhbar bercetak sebagai ‘pencapaian terbesar Pakatan Harapan (PH)’ dalam membanteras perkauman.

Kenyataan itu menyatakan kematian Utusan merupakan pencapaian terbesar PH ketika cuba menguburkan sifat perkauman dalam negara ini dan meraikan ulang tahun hari kemerdekaan ke-62.

Bagaimanapun dalam kenyataan kemas kini dua jam kemudian, perenggan berkenaan sudah dipadamkan. – MalaysiaGazette