Mazlan Bujang

KUALA LUMPUR- Individu yang membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang kerana dakwaan menganggu tugas penjawat awam ada niat jahat.

Mazlan yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berkata, dia mengenali pihak yang sengaja mencetuskan isu berkenaan.

Meski tidak menyebut secara spesifik siapa dalang itu, Mazlan memberi amaran kepada pihak berkenaan tidak lagi bertindak sedemikian.

“Cukuolah-cukuplah jadi orang (begitu). Saya tahu benar siapa yang suruh. Sebab kakitangan itu baik dengan saya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu beliau didakwa menghubungi seorang penjawat awam yang terlibat mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kecil Latihan Kecemasan Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (PAGEMA) pada 17 Julai yang lalu untuk mengarahkan kilang-kilang yang telah diarahkan ditutup dibenarkan beroperasi semula.

Mazlan turut menafikan telah mengugut dan menganggu tugas penjawat awam yang membuat laporan polis pada 22 Ogos lalu.

Beliau dalam masa yang sama menegaskan tidak pernah memberi arahan agar kilang yang ditutup kerana menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang kembali beroperasi.

Sebaliknya jelasnya sebagai wakil rakyat beliau mengambil berat aduan penduduk yang merupakan pemilik premis bengkel dan kedai menyuci kereta yang diarahkan tidak lagi beroperasi meskipun tidak ada kaitan dengan pencemaran.

Apatah lagi tambah beliau pemilihan premis perniagaan kecil-kecilan yang ditutup ini majoritinya adalah orang Melayu.

“Saya nak dipertimbangkan buka kembali car wash bukan kilang. Di kampung Pasir Puteh ini semua penguasaha adalah, bengkel, car wash apa kena mengena dengan pencemaran? Yang menteri suruh tutup kilang-kilang, tutup car wash dan bengkel kenapa?

“Saya hanya menelefon. Tidak ada ugutan, siapa saya nak keluarkan arahan, saya bukan menteri,”tambahnya.

Menganggap kenyataannya dimanipulasi dan ditokok tambah, justeru itu Mazlan esok akan membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Datuk Onn pada 5:30 petang.-MalaysiaGazette