ADUN Balakong, Wong Siew Ki bercakap kepada media mengenai kenyataan Pos Malaysia di Pusat Khidmat ADUN Balakong, Balakong, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2019

BALAKONG – Orang ramai digesa supaya berhenti daripada melemparkan tuduhan liar kononnya perbuatan memasang Jalur Gemilang bendera secara terbalik dilakukan oleh DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wong Siew Ki turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang masih lagi menuduh DAP sengaja mencetus huru-hara berhubung perkara tersebut.

“Semua salah DAP. Semua salah Lim Guan Englah?” soalnya yang kesal dengan tuduhan seperti itu pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sikap segelintir warganet di beberapa group aplikasi Whatsapp yang menuduh DAP dan oenyokongnya berhubung pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Meskipun tindakan sudah diambil oleh pihak berkuasa terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara berkenaan seeblum ini namun masih ada lagi segelintir netizen yang mengaitkan DAP dengan perkara tersebut.

Siew Ki berkata, semua warga Malaysia menyayangi Jalur Gemilang dan tuduhan seperti itu tidak sepatutnya wujud lagi selepas tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

Beliau turut mengharapkan agar isu tersebut dihentikan bagi menunjukkan kesetiaan warga Malaysia kepada negara yang tercinta ini.

“Jangan ikut angin sahaja. Bagi saya DAP tidak boleh disalahkan. Ramai pemimpin DAP dari Ahli Parlimen dan ADUN sedang buat kerja. Saya rasa rakyat sedang nilai perkara ini.

“Cukuplah politik. Dalam bulan yang mulia ini (bulan kemerdekaan) berhentilah daripada tuduh menuduh,” ujarnya. – MalaysiaGazette