Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua kiri) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes (kiri) dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Air Asia, Datuk Kamarudin Meranun (dua kanan) mendengar penerangan dari Pengarah Eksekutif Air Asia Foundation, Yap Mun Ching (tiga kanan) ketika melawat pemeran pada Pelancaran Pusat Perusahaan Sosial Destination : Good di RexKL, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Tidak mahu mengambil kesempatan daripada masalah teknikaldi kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menyalahkan pengendalinya, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sangat berharap supaya infrastruktur di lapangan terbang tersebut ditambah baik.

Jelasnya, beliau sendiri tidak dimaklumkan oleh MAHB bilakah masalah teknikal itu akan diselesaikan sepenuhnya.

Namun begitu AirAsia menurut Tony tidak berdiam diri sebaliknya berusaha untuk membantu melicinkan perjalanan semua penumpang mereka dengan bekerjasama erat dengan pengendali lapangan terbang berkenaan.

“Saya memang bukan peminat MAHB tetapi saya tidak berhasrat mengambil kesempatan (untuk menyalahkan MAHB) dalam isu ini.

“Semua syarikat ada masalah termasuk AirAsia sendiri.

“Kita sepatutnya bekerja bersama-sama bagi memastikan semua penumpang tidak terjejas teruk,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Good Shop oleh Yayasan AirAsia.

Majlis disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tambah Tony, sektor pelancongan merupakan antara sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

MGF23082019_PELANCARAN DESTINATION GOOD_03
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes ketika hadir pada Pelancaran Pusat Perusahaan Sosial Destination : Good di RexKL, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2019

Dengan itu, kerajaan dan MAHB sepatutnya menambah baik infrastruktur lapangan terbang di negara ini bagi memastikan sektor pelancongan tidak terjejas.

Ketika ditanya mengenai kesan gangguan teknikal di klia2 terhadap jadual penerbangan serta kedudukan kewangan AirAsia, Tony berkata, beliau tidak mempunyai angka yang tepat.

“Saya tidak ada angka yang tepat berapa banyak penerbangan yang terganggu tetapi saya boleh katakan, memang penerbangan mengikut jadual terjejas teruk.

“Walaupun tidak seteruk keadaan di terminal utama tetapi skrin-skrin yang memaparkan jadual penerbangan masih tidak berfungsi.

“Ini menyebabkan penumpang tidak mengetahui pintu mana untuk berlepas dan dengan itu saya meminta semua penumpang supaya memuat turun aplikasi AirAsia supaya dapat memudahkan perjalanan mereka.

“Dari segi kewangan, saya tidak rasa kejadian ini memberi kesan yang ketara,” katanya lagi.

Sejak malam Rabu lalu, terminal utama KLIA dan klia2 mengalami gangguan teknikal sehingga menyebabkan jadual penerbangan ditulis di papan-papan putih, barisan untuk pemeriksaan imigresen dan daftar masuk terlalu panjang dan hanya pembayaran tunai dibenarkan untuk sebarang urus niaga di dua lapangan terbang berkenaan.-MalaysiaGazette