Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bersama anak-anak yatim mengibarkan jalur gemilang pada Majlis Kibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Merdeka 2019 bersama Anak-Anak Yatim di Restoran D’Tandoor, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membuat rombakan kepada Kabinet sedia ada.

Beliau berkata, rombakan itu penting demi melakukan penambaikan kabinet bagi meningkatkan prestasi kerajaan selepas lebih setahun memerintah.

“Dalam kedudukan ini, saya fikir watak yang terbaik untuk membuat keputusan sudah tentulah watak Perdana Menteri sendiri.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan sesuai dengan keperluan dan juga reaksi masyarakat dan rakyat seluruhnya untuk kebaikan semua,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Saifuddin hadir pada Majlis Kibarkan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan 2019 bersama Anak-anak Yatim Anjuran Restoran DTandoor dan Al-Malik, di sini.

Semalam, Mahathir menegaskan, tiada menteri baharu akan menganggotai Kabinet, sebaliknya mungkin berlaku pertukaran kecil portfolio menteri.

Menurut Dr Mahathir, beliau ada menjelaskan dalam mesyuarat kabinet berhubung pertukaran portfolio namun belum memutuskan bila ia akan dilaksanakan.

Saifuddin berkata, berdasarkan penjelasan Mahathir baru-baru ini bahawa tiada penambahan dalam jemaah menteri sedia ada dan apa pun perubahan perlu dihormati semua pihak.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk melakukan apa-apa langkah yang difikirkan wajar dan perlu sesuai dengan usia pemerintahan yang mencecah lebih setahun.

“Barangkali memerlukan di sana sini langkah-langkah baru. Jadi kita hormati apa-apa perkara yang akan dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette