KUALA LUMPUR – Satu sindiket pemalsuan dokumen pasport yang didalangi warga asing berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Bangladesh di sini malam tadi.

Serbuan itu dilakukan oleh seramai 15 pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen pada 23 Ogos 12.30 tengah malam tadi di sebuah rumah Pangsapuri Jalan Nagasari di sini.

Hasil serbuan, seorang lelaki warganegara Bangladesh diberkas disyaki menjadi dalang utama dalam aktiviti sindiket pemalsuan dokumen itu.

“Hasil pemeriksaan pegawai imigresen berjaya merampas sebanyak 99 pasport pelbagai negara iaitu 90 pasport Bangladesh, lapan pasport Indonesia dan sekeping pasport India.

“Kesemua pasport berkenaan bersiap untuk diserahkan kepada pelanggan mereka,” kata Ketua Pengarah Imigresenm Datuk Khairul Szaimee Daud dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 11 keping kad CIDB, enam keping 1-Kad, lima telefon bimbit, sebuah komputer riba dan sebuah mesin pencetak selain wang tunai RM53,000 dipercayai hasil urusniaga dokumen palsu.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menyasarkan warganegara Bangladesh, Indonesia dan India sahaja dengan berkemahiran meminda biodata muka hadapan pasport.

Tambah Khairul, pemeriksaan di dalam komputer riba yang dirampas daripada suspek mendapati terdapat perisian untuk meminda biodata muka hadapan pasport dan maklumat visa.

“Bagi setiap pasport yang dipalsukan bayaran sebanyak RM200 dikenakan oleh sindiket kepada pelanggan selain risikan turut mendedahkan sindiket ini dikesan aktif menjalankan aktiviti haram mereka di sekitar Lembah Kelang sejak lima bulan yang lalu.

“Dalang utama telah ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan suatu pas atau endorsement dan jika disabitkan kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan penjara antara lima hingga 10 tahun serta rotan tidak melebihi enam kali.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kebenaran yang sah (jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali).

“Turut ditahan ialah tiga lagi warganegara asing iaitu dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki telah melanggar kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua suspek ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pendatang asing atau maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang boleh menggugat kedaulatan negara supaya tampil menyalurkan maklumat.

“Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar akta dan peraturan yang telah ditetapkan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette